
Nampaknya demam Liga Juara-Juara masih belum kebah lagi di kalangan para peminat bola, terutama sekali mereka yang menjadi penyokong sang juara (Manchester United). Walau apa pun syabas diucapkan kepada Manchester United dan penyokong setia mereka.
Menang tetap menang. Ini bukan macam satu iklan kat televisyen, “anda mampu mengubahnya”. Keputusan mana boleh diubah lagi. Jadi kepada peminat-peminat Chelsea atau The Blues tu banyak-banyaklah bersabar. Tak siapa menafikan anda memang bermain hebat. Tapi itulah adat bertanding. Pemenang hanya satu sahaja.
Nampaknya bergembira sakanlah penyokong Red Devils. Kalau kita tengok tv semalam memang berpesta para penyokong mereka. Adalah sikit gaduh-gaduh kecil. Biasalah tu dalam ramai-ramai ada yang tidak dapat menahan emosi. Macam kes si Drogba jugalah. Orang lain gaduh, dia pula yang pergi masuk campur. Tak pasal-pasal kena kad merah.
Tapi dalam gembira peminat Manchester United pun tengah berdebar-debar juga sekarang ini. Ini gara-gara khabar angin bintang utama mereka, Cristiano Ronaldo akan berpindah ke kelab lain.
Berita mengenai perpindahan Ronaldo pun bukan baru sebenarnya. Cuma oleh kerana sekarang ini dah tamat musim lama, sudah tentulah cerita berkenaan bertambah panas. Maklumlah bintang sehebat Ronaldo kelab mana yang tak terliur.
Spekulasi mengenai masa depan Ronaldo menjadi bertambah hangat minggu lalu apabila dia dikhabarkan membuat pendedahan dalam satu saluran televisyen Sepanyol untuk meninggalkan Manchester United pada akhir musim ini.
Namun begitu boss Manchester United, Alex Ferguson ketika ditanya di Moscow sebelum perlawanan akhir dengan Chelsea mengenai peluang Ronaldo meninggalkan United tetap melahirkan keyakinannya bahawa pemain sayap Portugal itu akan kekal menjadi milik mereka.
Kalau mengikut kontrak yang disepakati, Ronaldo akan kekal di Old Trafford sehingga tahun 2012. Maknanya ada lagi kira-kira empat tahun. Tempoh empat tahun bagi pemain seperti Ronaldo boleh dikatakan agak lama juga tu.
Laporan dari Sepanyol juga menyebut Real Madrid, iaitu antara kelab yang beria-ia sangat ingin menggunakan khidmat Ronaldo mungkin menawarkan bayaran yang akan mengatasi rekod perpindahan dunia milik bekas bintangnya, Zinedine Zidane.
Agak-agaklah kalau perpindahan beliau menjadi kenyataan, berapa agaknya Real Madrid sanggup membayar. Nilai yang direkodkan apabila Real menandatangani Zinedine Zidane dari Juventus pada tahun 2001 ialah sebanyak 41.3 juta euro (RM210 juta).
Tidak mustahil juga kalau Real Madrid letak harga dua kali ganda daripada jumlah yang dibayar ke atas Zidane. Kalau menjadi kenyataan bertambahlah pendapatan Manchester United. Bolehlah buat macam Arsene Wenger. Cari pemain muda yang nilainya agak rendah dan gilap betul-betul biar menjadi seorang super star. Sanggup ke Ferguson buat macam tu? Entahlah..
Recent Comments